Friday, June 4, 2010
Baca Puisi Tiga Negara PENA - eSastera
Program Baca Puisi Tiga Negara (Malaysia, Singapura & Indonesia) di adakan pada Jumaat, 4 Jun 2010 anjuran PENA dengan kerjasama e-Sastera bertempat di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Ramai ahli sasterawan tersohor turut hadir pada malam itu.
Malam itu aku bersama sdr Teratai menyampaikan sebuah syair berjudul "Syair Naik Buaian"...
SYAIR NAIK BUAIAN (Teratai & TabirAlam)
Duhai anakanda dalam buaian
lahir ke dunia izinnya tuhan
sanjung ayahmu insan budiman
hormat padanya sepanjang zaman
bonda wanita sifat menawan
sabar menanti sembilan bulan
setelah lahir tiba dipangkuan
kasih sayangnya dalam pelukan
Nama diberi indah sebutan
besarmu nanti jadi ilmuan
teguh bertaqwa tegaplah iman
jadilah hamba dikasihi tuhan
naik buaian anak perempuan
wahailah anak yang setiawan
taat dan patuh anak perempuan
suamimu itu jangan dilawan
wahailah anak kami berpesan
kepada engkau dalam buaian
ibu dan bapa jangan dilawan
jangan diikut iblis dan syaitan
subhanallahMaliku A'inzah
anak yang ini limpahkan tuah
siang dan malam biar bertambah
sehingga tiba masa berpindah
wahailah anak kami buaikan
kepada engkau kami doakan
doa yang pendek mohon pulangkan
rezeki halal minta murahkan
subhanallah Malikul Jabbar
anak yang ini cepatlah besar
jauhkan dari kata yang mungkar
dunia akhirat supaya pintar
subhanallah Malikul Rahman
anak yang ini tetapkan iman
amal ibadat minta kuatkan
syaitan dan iblis minta jauhkan
subhanallah Malikul Wahab
anak yang ini jauhkan azab
minta dimakbul doa mustajab
siang dan malam mohon berharap
subhanallah Malikul Rahman
doalah kami minta perkenan
siang dan malam sepanjang zaman
bala dan fitnah minta jauhkan
subhanallah Tuhan Yang Kudrat
jauhkan kami dari maksiat
minta rahmat-Mu dunia akhirat
alhamdulillah syair pun tamat
Aku agak kekok muncul dengan singlet hitam kerana tidak menjangkakan program diadakan diluar. Jubah hitam yang dibawa tidak terdaya nak dipakai, kerana suasana tidak bersesuaian, kalau dipakai terlebih gaya, tak dipakai, itulah jadinya... Kenangan yang paling mahal, aku berpeluang bergambar bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada malam itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment