Showing posts with label E-Sastera. Show all posts
Showing posts with label E-Sastera. Show all posts

Saturday, December 5, 2015

Hescom 2015


Aku ke Kuala Lumpur ke tempat yang sama di Hotel Dynasty seperti tahun sebelumnya bagi menghadiri Malam Anugerah Hadiah e-Sastera.com. Kali ini aku pergi bersendirian kerana aku menyimpang dari acara Pulara di Pulau Pangkor. Peserta diminta hadir dengan menggayakan pakaian antarabangsa, dan aku memilih pakaian tradisional Muslim Kenya.


Malam itu aku menyampaikan sebuah haiku yang bertemakan Hescom, dan sebelum itu aku memberikan soalan teka-teki dari laman e-Sastera terbuka kepada hadirin. Soalan dapat dijawab oleh sdr Ahkarim dari Alor Setar, Kedah, dan beliau dihadiahkan sebuah buku "Projek Haiku".


Pada malam Hescom itu aku memenangi dua hadiah utama. Pertama Hadiah Sayembara Sajak Banjir 2015 di tempat pertama berjudul "Dugaan Banjir". Kedua, aku menerima Anugerah Haiku dan Tanka di tempat pertama dengan haiku bertemakan "Hiroshima Dalam Kenangan".    

Saturday, December 6, 2014

Hescom 2014


Majlis makan malam Anugerah Hadiah eSastera.com, atau nama ringkasnya Hescom 2014 anjuran Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia telah diadakan di Dynasty Hotel, Kuala Lumpur pada Sabtu 6 Disember 2014. 


Malam itu aku menerima Anugerah Haiku Melayu Alam Siber daripada pengasas e-Sastera, Prof. Ir. Irwan Abu Bakar bersama hadiah wang tunai.


Hescom adalah satu-satunya acara penulis alam maya dari grup eSastera bertemu mesra setelah berkarya di sepanjang tahunnya. Perjumpaan kali ini mengumpulkan karyawan dari Singapura dan Indonesia. Antarnya sdr Yusof Abdulla, Anbakri, Dahrie,Airmaz, NimoizTY, Iqbal, dan yang lainnya terlupa nama. 


Di majlis itu, pertama kalinya aku berkesempatan bertemu dengan penulis muda dari Banten, Indonesia - Muhamad Rois Rinaldi.  


Bersama sdr Kuntum Embong dan sdr Citranalis. 


Bersama penulis dari utara, sdr Siti Sara Salwana 


Bersama penulis dari utara, sdr Anbakri 


Bersama sdr Tadrinz, suami kepada sdr Citranalis.



Friday, June 4, 2010

Baca Puisi Tiga Negara PENA - E-Sastera

Program Baca Puisi Tiga Negara (Malaysia, Singapura & Indonesia) di adakan pada Jumaat, 4 Jun 2010 anjuran PENA dengan kerjasama e-Sastera bertempat di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Ramai ahli sasterawan tersohor turut hadir pada malam itu.


Malam itu aku bersama sdr Teratai menyampaikan sebuah syair berjudul "Syair Naik Buaian"...

SYAIR NAIK BUAIAN (Teratai & TabirAlam)

Duhai anakanda dalam buaian
lahir ke dunia izinnya tuhan
sanjung ayahmu insan budiman
hormat padanya sepanjang zaman

                    bonda wanita sifat menawan
                    sabar menanti sembilan bulan
                    setelah lahir tiba dipangkuan
                    kasih sayangnya dalam pelukan

Nama diberi indah sebutan
besarmu nanti jadi ilmuan
teguh bertaqwa tegaplah iman
jadilah hamba dikasihi tuhan

                    naik buaian anak perempuan
                    wahailah anak yang setiawan
                    taat dan patuh anak perempuan
                    suamimu itu jangan dilawan

wahailah anak kami berpesan
kepada engkau dalam buaian
ibu dan bapa jangan dilawan
jangan diikut iblis dan syaitan

                    subhanallahMaliku A'inzah
                    anak yang ini limpahkan tuah
                    siang dan malam biar bertambah
                    sehingga tiba masa berpindah

wahailah anak kami buaikan
kepada engkau kami doakan
doa yang pendek mohon pulangkan
rezeki halal minta murahkan

                    subhanallah Malikul Jabbar
                    anak yang ini cepatlah besar
                    jauhkan dari kata yang mungkar
                    dunia akhirat supaya pintar

subhanallah Malikul Rahman
anak yang ini tetapkan iman
amal ibadat minta kuatkan
syaitan dan iblis minta jauhkan

                    subhanallah Malikul Wahab
                    anak yang ini jauhkan azab
                    minta dimakbul doa mustajab
                    siang dan malam mohon berharap

subhanallah Malikul Rahman
doalah kami minta perkenan
siang dan malam sepanjang zaman
bala dan fitnah minta jauhkan

                    subhanallah Tuhan Yang Kudrat
                    jauhkan kami dari maksiat
                    minta rahmat-Mu dunia akhirat
                    alhamdulillah syair pun tamat


Aku agak kekok muncul dengan singlet hitam kerana tidak menjangkakan program diadakan diluar.  Jubah hitam yang dibawa tidak terdaya nak dipakai, kerana suasana tidak bersesuaian, kalau dipakai terlebih gaya, tak dipakai, itulah jadinya...  Kenangan yang paling mahal, aku berpeluang bergambar bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada malam itu. 

Pantun Hari Jadi: Ana Cik Kamal