Saturday, December 7, 2013
Pertemuan Bonda Raja Zainon
Hari ini terima kunjungan (keluarga sebelah ayah) dari bonda Raja Zainon, kekanda Abdul Khazir dari Melaka, dan keluarga adinda Norfadilah dari Kuala Kangsar. Perjumpaan diatur di rumah emak di Taman Pengkalan Jaya, Pasir Puteh. Sekian lama kami tidak bertemu sejak awal 1990-an, alhamdulillah semua dalam keadaan sihat.
Thursday, December 5, 2013
Bicara Karya Malim Ghozali Pk
Sesi Majlis Bicara Karya Penerima S.E.A Write Award 2013 - sdr Malim Ghozali Pk telah diadakan pada 5 Disember 2013 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Acara dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).
Sesi bicara karya dilansungkan dengan para kritikawan terdiri dari SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SN Dato' Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz, dan En. A. Rahim Abdullah. Hadirin diraikan dengan persembahan nyanyian sajak oleh sdr Malim Ghozali Pk.
Wednesday, December 4, 2013
Makam Datuk Shahbandar Hulu
Sekian lama aku hanya mengetahui tentang hubungan aku sebagai cucu kepada Datuk Shahbandar Hulu, Kuala Kangsar, namun aku belum berpeluang menziarah makamnya. Pada Rabu 4 Disember 2013 aku mengambil kesempatan mencarinya bersama emak di Makam DiRaja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Makamnya terletak di disebelah kiri dari pintu masuk menghala ke curam. Binaannya masih kukuh dan dijaga dengan rapi. Dua buah batu nisannya dibuat dari batu marmar.
Tertera di batu nisan - Al-Fatihah - Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahim (Kanda Ibrahim) Datuk Shahbandar Hulu kembalinya ke rahmatullah ta'ala pada hari Khamis jam 6.00 pagi 5 haribulan Muharram 1374 bersamaan 2 September 1954 umurnya 90 tahun.
Thursday, November 28, 2013
Pantun Ulam Majalah Waris
Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook.
Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:
Pantun Hempedu Bumi
Seperdu rami dibubuh cuka,
jangan ditarah di tempat awal;
hempedu bumi penyembuh luka,
tekanan darah dapat dikawal.
Pantun Ulam Jering
Perakit sering rajin mencawas,
bunga setawar diasing jenis;
di pahit jering agen pelawas,
juga penawar si kencing manis.
Pantun Pegaga
Malam berjaga sebab berusia,
rebahkan badan henti bacaan;
ulam pegaga bak astrigensia,
tambah ingatan, anti penuaan.
Pantun Pucuk Gajus
Buruknya rampus pasti ditangis,
puas mencubit cerewet reda;
pucuknya gajus anti diabetes,
lawas sembelit dan awet muda.
Pantun Pucuk Mengkudu
Terkedu saya cerita salatin,
di awal sirah bacar akaid;
mengkudu kaya beta karoten,
mengawal darah melancar haid.
Pantun Pucuk Sambung Nyawa
Ngobrol orang di Bandung, Jawa,
besarlah kesal gawat dirundung;
kolestrol kurang dek sambung nyawa,
masalah ginjal dapat dibendung.
Wednesday, October 23, 2013
Pertemuan: Moh Ghufron Cholid
Acara "Kongres Penyair Sedunia" atau "33rd World Congress of Poets" (WCP) anjuran "Akademi Seni dan Budaya Dunia" atau "World Academy of Arts and Culture" (WAAC) berkolaborasi bersama Institute Darul Ridzwan dan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzwan telah di adakan di Hotel Syuen, Ipoh dari 20 hingga 26 Oktober 2013.
Aku sempat bertemu dengan rakan pemuisi dari tanah seberang, Madura, Indonesia iaitu sdr Moch. Ghufron Cholid di ruang lobi hotel. Satu naskhah "Antologi Haiku 2006" sebagai tanda ingatan buat sdr Moh. Ghufron Cholid.
Saturday, August 24, 2013
9th Asia Cup Men's Hockey Tournament 2013
Kejohanan "9th Asia Cup Men's Hockey Tournament 2013" telah berlansung di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada 24 Ogos hingga 1 September. Aku bertugas sebagai 'Announcer' di bahagian Media. Sebanyak lapan negara turut bertanding dalam kejohanan ini antaranya; Malaysia sebagai tuan rumah, Oman, Japan, Chinese Taipei, Bangladesh, Korea, India, dan Pakistan. Sayangnya negara Malaysia hanya mampu bertahan di tempat keempat dalam kejohanan itu
Kejohanan dianjurkan oleh Malaysian Hockey Confederation, dengan kerjasama Asian Hockey Federation diterajui oleh Presidennya, DYMM Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah, dan Perak Hockey Association. Kedudukan pemenang kejohanan "9th Asia Cup Men's Hockey Tournament"
1. Korea
2. India
3. Pakistan
4. Malaysia
5. Oman
6. Japan
7. Bangladesh
8. Chinese-Taipei
Thursday, August 8, 2013
Hari Raya Aidilfithri 2013
Hari raya Aidilfithri pertama pada sebelah tengah hari pergi beraya ke rumah emak di Taman Pengkalan jaya, Pasir Puteh. Adik beradik yang lain tak bertembung, cuma keluarga sendiri, keluarga Abdul Azehar, keluarga Abdul Zaimi dan keluarga Rosilawaty (Shiela). Itu pun dah penuh ruang tamu rumah emak.
Wednesday, July 31, 2013
Memey: Roborovsky Hamster
Usia Memey menjangkau tiga tahun, peliharaan anak perempuanku, Nurul Fithri. Dia hidup terlepas dalam rumah dan bebas bergerak kemana sahaja. Sering ke bilik mandi bermain air yang bertakung. Kalau digosok badannya, dia akan meleperkan diri dan memejamkan matanya. Kadang-kanag ketika solat, ia akan melintas di hadapan dan bermain dengan rambu sejadah. Apabila tika aku duduk, Memey akan datang memanjat riba untuk bermain dengannya. Rabu 31 Julai 2013 jam 2.30 petang aku bawa makan untuk Memey, apabila dicapai ditempatnya, badannya tidak lagi bergerak. Kaku. Semua itu tinggal kenangan, walaupun ia hanya seekor haiwan ciptaan Allah SWT.
Memey
setiap yang hidup akan pergi
bagiku teman bermain saban hari
aduhai kesayanganku
kini sudah tiada lagi, jauh pergi...
bagiku teman bermain saban hari
aduhai kesayanganku
kini sudah tiada lagi, jauh pergi...
selembar kenangan abadi
mencuri sebuah ilusi:
dari kecilnya hingga ke usia tua
memberinya makan di tangan
dibelai matanya pejam
tapi kini semua hilang
sekadar sekeping memori
: Memey
dari kecilnya hingga ke usia tua
memberinya makan di tangan
dibelai matanya pejam
tapi kini semua hilang
sekadar sekeping memori
: Memey
Monday, July 29, 2013
Antologi "Cinta, Rindu dan Kematian"
Narcissus Kaleng Buran
Aduhai teratak di sawah padi
persaksianmu pada purnama
dinihari, lalu diserlahkan
tampan wajah Kaleng Buran
jejaka kaum Bidayuh
menghibur rasa di syahdu malam
lagak narcissus membara
asyik, lagi mengkhayalkan
leka di matanya, lena di hati
menyintai paras dirinya
pudar wajah di bulan sepi
hodoh ngeri tidak terkira lagi
tanpa purnama merisik wajah
begitu misteri sakit dialami
saban malam menanti
menyintai purnama
tidak ketahuan akan adiknya
Kumang, yang disayangi
hingga curiga membolosi
sekeping hati suci
tapi, gerun melanda jiwa
enggan diakui itu abangnya
ke kamar, mengunci diri
antara simpang serba salah
maaf enggan diterima Kumang
Kaleng terapung di langit tinggi
sesalan menjeruk diri
hati Kumang bergelora
tampan Kaleng di purnama malam
galah sebatang dikaitnya abang
sayu berlagu menjulok-julok
hingga ke akhirnya
menjadi punggok
~CDK~
12.09.2013
Saturday, July 6, 2013
Kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi
Menghadiri kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi di Dewan Seri Banding, Hotel Seri Malaysia, Ipoh pada 6 hingga 7 Julai 2013. Ceramah disampaikan oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan Encik Mohd bin Shamsuddin.
Ketika menerima sijil penyertaan daripada Presiden Persatuan Karyawan Perak, Tuan Haji Zabidin Haji Ismail semasa upacara penutup.
Kursus dianjurkan oleh Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bersama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).
Saturday, June 22, 2013
Pelancaran Antologi "Lantera Sastera"
Sebuah antologi puisi bertajuk "Lantera Sastera" telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Jun 2013. Pelancaran diadakan di Dewan Serbaguna, Kampung Batu, Kuala Lumpur. Antologi ini memuatkan puisi-puisi karyawan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Sayangnya, aku tidak dapat hadir bersama mereka malam itu kerana kekangan dari beberapa hal lain.
Kelihatan sdr Dr.irwan juga turut hadir mewakili eSastera. Juga sdr Amran Ibrahim Rashidi, Ezah Nor dari Malaysia. Karyawan muda prolifik, Muhammad Rois Rinaldi hadir mewakili Indonesia, serta Noor Aisyah mewakili Singapura, gambar mereka berdua di bawah ini, aku kagum dengan puisi karya mereka...
Lima buah haiku dimuatkan dalam Antologi "Lantera Sastera" terbitan grup lamanweb 'Puisikan Bait Kata Suara'...
Haiku #1
Maulidur Rasul
muslimin berselawat
cahaya ad-Deen
Haiku #2
di Aidilfithri
air mata tergenang
jari sepuluh
Haiku #3
Israk dan Mikraj
usul kadar rakaat
tiang agama
Haiku #4
solat terawih
dua puluh rakaat
berganjak arah
Haiku #5
kumulus putih
sujud meninggi hari
istana emas
~PBKS~
~PBKS~
Thursday, June 13, 2013
"Supper" Daripada Nurul Fithri
Kami sekeluarga pergi makan "supper" kat McDonalds berhampiran MH Hotel di Boulevard Sultan Azlan Shah. Hari ini Nurul Fithri belanja makan sebab katanya "naik setakuk", itu sahaja ...
Wednesday, April 10, 2013
Pendapat di Projek Dialog
Suntingan pendapat yang dikemukakan kepada pengarang Projek Dialog dimuatkan dalam artikel berkenaan dengan tajuk "Perlunya Dialog Antara Ugama" kelolaan penulis sdr Uthaya Sankar SB telah disiarkan di blog beliau pada 10 April 2013. Petikannya seperti berikut:
Sila klik pada gambar untuk paparan besar.
Friday, March 1, 2013
World Haiku Review March 2013
Sebuah dari haiku yang aku hantar ke the World Haiku Club telah terpilih dalam kategori Neo Classical Haiku di bawah sub-kategori Zatsuei (Haiku of Merit) bagi majalah World Haiku Review terbitan March 2013.
a snow covered twig
dripping into the lake
song of the season
Haiku ini aku persembahkan dalam bentuk Haiga (Haiku berlatarbelakangkan gambar) dan aku memilih gambar musim salji yang bersesuaian seperti di bawah. Pautannya boleh dicapai disini.
Thursday, January 17, 2013
"Supper" kat McDonalds
Keluar makan "supper" dengan Nurul Fithri, Nurul Farahana, Nurul Faizah, dan Nurul Fayyadhah fi McDonalds, Jalan Sultan Azlan Shah Boulevard,.kemudian bersiar-siar di I-City versi Ipoh di Kinta Riverfront.
Saturday, January 12, 2013
Lawatan ke Muzium Beruas
Pergi melawat Muzium Beruas dengan emak dan anak perempun, Nurul Fithri. Pekan Beruas agak kecil sahaja, cuma muzium ini sahaja yang jadi tarikan di sana.
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
A ku bukanlah seorang pendidik di sekolah, namun aku hanya membimbing rakan-rakan penulis yang berminat untuk belajar mengenali puis-puisi y...
-
Tahun 80'an terkenal dengan kegilaan muzik dan tarian disco. Di Ipoh tidak kurang juga tumbuhnya disko untuk anak-anak muda yang m...






























