Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook.
Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:
Pantun Hempedu Bumi
Seperdu rami dibubuh cuka,
jangan ditarah di tempat awal;
hempedu bumi penyembuh luka,
tekanan darah dapat dikawal.
Pantun Ulam Jering
Perakit sering rajin mencawas,
bunga setawar diasing jenis;
di pahit jering agen pelawas,
juga penawar si kencing manis.
Pantun Pegaga
Malam berjaga sebab berusia,
rebahkan badan henti bacaan;
ulam pegaga bak astrigensia,
tambah ingatan, anti penuaan.
Pantun Pucuk Gajus
Buruknya rampus pasti ditangis,
puas mencubit cerewet reda;
pucuknya gajus anti diabetes,
lawas sembelit dan awet muda.
Pantun Pucuk Mengkudu
Terkedu saya cerita salatin,
di awal sirah bacar akaid;
mengkudu kaya beta karoten,
mengawal darah melancar haid.
Pantun Pucuk Sambung Nyawa
Ngobrol orang di Bandung, Jawa,
besarlah kesal gawat dirundung;
kolestrol kurang dek sambung nyawa,
masalah ginjal dapat dibendung.


