Aku menerima permintaan dari Sekretariat Seminar Pantun Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, menyumbangkan pantun untuk "Seminar Pantun Melayu: Semalam, Hari Ini dan Esok" pada 6 hingga 7 Disember 2007, bertempat di Dewan Persidangan PPPI UKM. Himpunan pantun ini adalah untuk projek penyelidikan Institut (ATMA) "Sejuta Pantun" di portal ATMA. Aku menyumbangkan tujuh rangkap pantun seperti di bawah. Koleksi pantun ini boleh dicapai di
http://www.malaycivilization.com/
SEMINAR PANTUN MELAYU
Bebas kelicap
terlanda pakma,
terlanjur pinar santun jentayu;
syabas diucap kepada ATMA,
anjur Seminar Pantun Melayu.
Laksana kida jela widuri,
santun jentayu basa marahnya;
mencerna minda hala dicari,
pantun Melayu dan sejarahnya.
Kepada nuri balam merayu,
tiada lain cantik dan ranggi;
di jatidiri alam Melayu,
dunia sains dan teknologi.
Sebal fantasi warnada kelam,
angan bertemu sanat hikayat;
globalisasi melanda alam,
jaringan ilmu maklumat rakyat.
Jampuk berlangsi bergaya santun,
sari bernalam gini menusuk;
pupuk tradisi budaya pantun,
dari semalam, kini dan esok.
Ungkap selesa dipapar madah,
tamsil waruna kenal kelalang;
lanskap bahasa terhampar indah,
`hasil wacana panel terbilang.
Nukil di pipi rahsia serunai,
segulung padi rambah di dusun;
wakil DBP, Malaysia dan Brunei,
sekalung budi sembah disusun.
Sumbangan pantun dibalas dengan ucapan ribuan terima kasih dari Prof. Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Sekretariat, Seminar Pantun Melayu, ATMA, UKM dan dibals dalam dua rangkap pantun berbunyi begini;
Ke Melaka bersama sahabat handai,
Bawa pula kelapa tua;
Apa daya hajat tak sampai,
Di lain waktu kita bersua.
Dari Melaka membeli cangkir,
Letaklah ia di atas para;
Kalau tuan tak dapat hadir,
Jemputlah yang lain memeriahkan acara.