Sunday, August 31, 2008

Artikel TPO News Letter 2008



Artikel bertajuk tersiar dalam buletin Tourism Promotion Organization for Asia-Pacific Cities, TPO News Letter Issue 44 pada 31 Ogos 2008 bertajuk "Ipoh City Welcomes Representatives from Fukuoka City" di bawah kolum 'Member & Industry News'.  Laporan itu disediakan semasa aku memgang jawatan  korespondens bandaraya Ipoh dengan TPO di Busan, Korea. 


Saturday, August 30, 2008

Bengkel Pengucapan Puisi Kemerdekaan 2008


"Bengkel Pengucapan Puisi" sempena Bulan Kemerdekaan Ogos 2008 anjuran Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Bandaraya Ipoh (PINTAR), dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak telah diadakan di Taman Budaya, Ipoh pada 30 Ogos 2008 (Sabtu).  Bengkel 1 menampilkan penceramah sdr Abdullah Sani Yahaya (Lahsani) dengan topik 'Pengucapan Puisi Moden (Sajak)' dan diikuti oleh ceramah oleh sdr Bob dari Utara juga.

Sebelah petangnya majlis diserikan lagi dengan kehadiran Pn. Cek Nu Alina, pemenang Anugerah Deklamator Bumiputera Terbaik dalam Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 Peringkat kebangsaan yang telah berlansung pada 22 Ogos 2008 di Auditorium DBKL.  Beliau telah mendeklamasikan 'Ladang Merdeka' petikan karya nukilan penyajak Nasir Ali dari sebuah antologi 'Jamung Merdeka'.  Aku membawa bersama keratan sajak 'Meraut Kasih' tersiar dalam majalah Keluarga Harmoni edisi bulan Julai 2008. Beliau mendeklamasikan sajak tersebut dengan bersahaja. 

Friday, August 15, 2008

Lawatan Ke Piyamit Tunnel, Betong, Thailand


Sempena "Betong Walking Street Festival 2008" aku bersama kumpulan D'Bougainvillea turut menyertai program tersebut di bandar sempadan, Betong, dalam daerah Yala, Thailand mulai 15 Ogos hingga 17 Ogos 2008.  Kami menginap di Garden View Hotel, Betong.  



Sementara berada di sana kami dibawa melawat 'Piyanit Tunnel' tempat peninggalan komunis Malaya sepanjang 1km di bawah tanah. Kehidupan perselindungan mereka seumpama sarang semut yang berbelok-belok dan ruang-ruang kecil untuk tidur dan berbincang.  Ada sejarah perubahan bendera komunis dari tahu 1941 hingga 1983.


Acara tersebut juga melansungkan perasmian "Arena Stadium" oleh Datuk Bandar Bangkok. Stadium tersebut ialah tempat berlansungnya persembahan kebudayaan pada acara malam itu.  Keesokkannya kami sempat melawat "Galeri Budaya Betong' yang mempamerkan berbagai peralatan tradisional dari negara-negara ASEAN.

Wednesday, July 30, 2008

AB-Road, Busan. Korea


Majalah kedua kerjasama dengan Tourism Scope yang berpengkalan di Busan, Korea telah selesaikan disiapkan, dan naskhah rujukan telah diterima pada 30 Julai 2008.  Majalah AB-Road ini dicetak dalam bahasa Korea, untuk Vol. 94, tahun 2008 menghidangkan paparan tentang bandaraya Ipoh,  Semua rencana yang kami sediakan bersama Mr. Gun Bo Song meliputi "Lost World of Tambun", Gerbang Malam, Taman Rekreasi Gunung Lang, "Memory Lane", "MBI Terrace", Resoran Nasmir, dan Restoran Laksamana Cheng Ho.  Terdapat juga beberapa produk pelancongan diluar bandaraya Ipoh seperti; Kellie's Castle, Gua Tempurung, dan beberapa mercutanda seperti Menara Jam Besar J.W.W. Birch, "Town Hall", dan Masjid Negeri.


Lima orang penyumbang artikel dipaparkan dimuka 18 yang menulis artikel tentang bandaraya di negara masing-masing, tapi semua maklumat disiarkan adalah dalam bahasa Korea. Masih belum dapat mengetahui maksud coretan sebenarnya.  Maklumat penerbitan majalah ini boleh dilawati di lamanweb ini: www..abroad.co.kr.

Saturday, June 21, 2008

Mental Health Public Talk 2008



"Perak Mental Health Campaign Committee" telah menganjur ceramah awam dengan tema "Public Campaign on Recognizing Depression" pada 21 Jun 2008 bertempat di Crystal Ballroom, Impiana Casuarina Hotel. Ceramah dihadiri oleh sukarelawan NGO jemputan bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang. Aku dijemput mewakili Pertubuhan The Befrienders Ipoh untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Befriending The Depressed".





Sunday, June 1, 2008

Kebolehan Berkarya


Berita Bandaraya - Bougainvilles City
Petikan rencana:

Mungkin ramai di kalangan warga kerja MBI tidak menyedari kebolehan menulis yang dimiliki rakan setugas, En. Abdullah Abdul Rahman.

Bertugas sebagai pembantu Tadbir Khas Setiausaha Bandaraya, En. Abdullah sudah lama berkecimpung dalam kerja penulisan bagi mengisi masa lapangnya.

Meminati bidang penulisan sejak remaja lagi, bapa kepada lima orang anak ini mula mengembangkan bidang penulisannya secara serius sejak tiga tahun lalu.

Sejak 2005, beliau sering menyumbangkan hasil karyanya kepada majalah-majalah ilmiahdan sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain daripada itu, En. Abdullah juga adalah penulis aktif dan juga ahli bagi laman web elektronik sasterawan atau e-sasterawan (www.esasterawan.net). 

Salah satu karya yang menjadi kebanggaannya adalah sebuah buku yang memuatkan kompilasi puisi-puisi Jepun yang ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. 

Buku bertajuk 'Antologi Haiku 2006' adalah hasil kerja En. Abdullah bersama dua lagi rakan penulis iaitu Halela Abdul Razak atau nama penanya Lelahiro dan Rusmimi Musa atau Dipinggiran.

"Kami menghasilkan buku ini dalam dwibahasa supaya peminat di Malaysia boleh menghayati karya-karya indah haiku yang bermaksud puisi dalam bahasa Jepun.

Terdapat 150 haiku di dalamnya dan uniknya saya dan dua lagi rakan penulis hanya berhubung melalui internet ketika menghasilkan  buku tersebut." katanya ketika ditemu ramah.

Buku tersebut telah membawa tuah kepadanya apabila beliau memenangi Sayembara Haiku 2006 anjuran e-sastera dengan kerjasama DBP dua tahun lalu.

"Hasil karya buku ini adalah sesuatu yang baru. Oleh itu saya berharap peminat sastera khususnya dan orang ramai dapat menghayati maksud tersirat yang terkandung di dalamnya." kata En. Abdullah.

Antologi Haiku 2006 boleh didapati disemua kedai buku dengan harga RM25 atau layari www.freewebs.com/antologihaiku untuk mendapatkan gambaran kandungan buku.

Thursday, May 8, 2008

Tourism Scope Special Edition 10


An-nyong ha se yo...

Terima lawatan dari rakan korespondens, Mr. Gunbo Song dari Incheon, Korea bersama seorang jurugambar Mr. Park, mewakili syarikat penerbitan Korea AB-road.  Mereka disni membuat liputan rencana khas tentang bandaraya Ipoh untuk bandaraya Ipoh dalam majalah Tourism Scope edisi istimewa ke 10.  Kami akan menyediakan laporan khas tentang Ipoh dari segi produk pelancongan dan tempat-tempat menarik di sekitar banraya Ipoh, mahupun bandar sekitarnya.  Artikel ini istimewa fokus kepada bandaraya Ipoh (Malaysia), Yokohama (Jepun), dan Iksan (korea). 


Liputan hari pertama melibatkan Pekan Lama Ipoh, PTIC, Stesyen Keretapi, Pokok Ipoh, Jam Besar dan Kam Batik di Chemor. Kemudian ke Jaya Jusco, Gunung Lang, Muzium Darul Ridzuan dan kedai asal "White Coffee" di pekan lama.  Malamnya 'dinner reception' di Hotel Syuen, Ipoh. Hari kedua meraikan majlis persandingan masyarakat Melayu di Jalan Hospital, Gua Tempurung dan International Motor Cross 2008 berhampiran di Gopeng.  Hari ketiga ke Memory Lane, Lost World of Tambun, Gua Tambun, Kellie's Castle dan makan tengahari di Restoran Laksamana Cheng Ho di Greentown. Malamny hantar mereka ke KLIA untuk pulang ke Korea.

Friday, April 4, 2008

Pesta Buku Antarabangsa 2008

z

Pesta Buku Antarabangsa 2008 anjuran Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MKBM)dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, telah diadakan Putera World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur dari 4 hingga 13 April 2008. Aku mengambil kesempatan untuk turut serta mempromosikan buku 'Antologi Haiku 2006' dengan bantuan sdr Darma Mohammad.  


Buku antologi tersebut dipromosikan di booth Pustaka Yamien, TR2 2025-2026, dan di Kedai Buku Banggol TR3 (A03-A09). Terima kasih diucapkan kerana sudi membantu. 


Di tapak pesta buku tersebut, penulis bersama 'Antologi Haiku 2006' sdr Dipinggiran, sdr Darma Mohammad dan aku sendiri berjumpa dengan beberapa ahli e-Sastera yang lain. Sempat juga bergambar dengan sdr Azree Ariffin dan Ode Zulkarnain.   

Saturday, December 15, 2007

HesCom e-Sastera 2007


Hadiah e-Sastera.com atau lebih dikenali sebagai HesCom 2007 telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Acara tersebut berlansung pada Sabtu 15 Disember 2007. Aku menghadirkan diri bersama sdr Teratai yang baru berjinak dengn e-Sastera.


Bersama sdr Kerisakti dan sdr Kalamutiara 

Bersama sdr Teratai dan sdr Brirasa

Antara hadiah-hadiah yang dimenangi:

Sayembara "50 Tahun Kemerdekaan" (Puisi Tradisional)
- tempat ketiga: "Syair 50 Tahun Kemerdekaan"
Sayembara Menulis Sajen I
- tempat pertama: "Tak Abis"
Sayembara Menulis Pantun
- Pemantun Idola Bulanan (Februari dan Jun)
Anugerah Haiku Alam Siber (AHMAS)
- tempat kedua  



Pautan artikel ini boleh dicapai disini.  

Wednesday, December 5, 2007

Seminar Pantun Melayu ATMA, UKM


Aku menerima permintaan dari Sekretariat Seminar Pantun Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, menyumbangkan pantun untuk "Seminar Pantun Melayu: Semalam, Hari Ini dan Esok" pada 6 hingga 7 Disember 2007, bertempat di Dewan Persidangan PPPI UKM.  Himpunan pantun ini adalah untuk projek penyelidikan Institut (ATMA) "Sejuta Pantun" di portal ATMA. Aku menyumbangkan tujuh rangkap pantun seperti di bawah.  Koleksi pantun ini boleh dicapai di http://www.malaycivilization.com/  

SEMINAR PANTUN MELAYU

                                    Bebas kelicap terlanda pakma,
                                        terlanjur pinar santun jentayu;
                                    syabas diucap kepada ATMA,
                                        anjur Seminar Pantun Melayu.

                                    Laksana kida jela widuri,
                                        santun jentayu basa marahnya;
                                    mencerna minda hala dicari,
                                        pantun Melayu dan sejarahnya.

                                    Kepada nuri balam merayu,
                                        tiada lain cantik dan ranggi;
                                    di jatidiri alam Melayu,
                                        dunia sains dan teknologi.

                                    Sebal fantasi warnada kelam,
                                        angan bertemu sanat hikayat;
                                    globalisasi melanda alam,
                                        jaringan ilmu maklumat rakyat.

                                    Jampuk berlangsi bergaya santun,
                                        sari bernalam gini menusuk;
                                    pupuk tradisi budaya pantun,
                                        dari semalam, kini dan esok.

                                    Ungkap selesa dipapar madah,
                                        tamsil waruna kenal kelalang;
                                    lanskap bahasa terhampar indah,
                                       `hasil wacana panel terbilang.

                                    Nukil di pipi rahsia serunai,
                                        segulung padi rambah di dusun;
                                    wakil DBP, Malaysia dan Brunei,
                                        sekalung budi sembah disusun. 
  
Sumbangan pantun dibalas dengan ucapan ribuan terima kasih dari Prof. Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Sekretariat, Seminar Pantun Melayu, ATMA, UKM dan dibals dalam dua rangkap pantun berbunyi begini;

                                    Ke Melaka bersama sahabat handai,
                                        Bawa pula kelapa tua;
                                    Apa daya hajat tak sampai,
                                        Di lain waktu kita bersua.

                                    Dari Melaka membeli cangkir,
                                        Letaklah ia di atas para;
                                    Kalau tuan tak dapat hadir,
                                        Jemputlah yang lain memeriahkan acara.  


Saturday, November 24, 2007

Forum Perdana Ehwal Islam


Satu slot Forum Perdana Ehwal Islam telah membuat rakaman dua episod; "Cash lain... Hutang lain..." dan :Korban online... Beres". Rakaman dibuat di Dataran Ipoh, Greentown di hadapam bangunan pejabatku Majlis Bandaraya Ipoh pada Sabtu, 24 November 2007. Program dianajurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Bank Rakyat, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Aku dijemput menjadi penonton yang mengemukakan soalan dari kalangan penonton yang hadir. Soalan yng aku kemukakan berkisar tentang tajuk "Korban online" yang mempersoalkan akad dalam mengerjakan ibadah korban secara online.  Rancangan tersebut disiarkan dalam rancangan di TV3.

Pantun Hari Jadi: Salmah Amir