Thursday, May 1, 2014

Belasungkawa Arwah Abdul Mutalib Lan


Ayah Alang, nama sebenar Abdul Mutalib bin Lan adalah abang kepada emak, satu-satunya saudara yang tinggal telah kembali ke rahmatullah pada Khamis 1 Mei 2014 sekitar jam 6.00 petang. Dilaporkan ketika meninggal dunia umurnya 99 tahun, meninggal di rumah anak perempuannya Sahirah. Arwah meninggal sakit tua serta mengidapi 'Bronchial Pneumonia' atau radang paru-paru. Kali terakhir aku melawat ayahanda Abdul Mutalib di Hospital Batu Gajah pada Ahad 27 April 2014.


Ini gambar aku bersama Ayahanda Abdul Mutalib pada 28 Oktober 2012 di rumahnya di Kampung Seri Jaya (Kampung Batu Dua) di Batu Gajah. Hanya doa dan al-Fatihah buat Ayahanda.

Saturday, March 22, 2014

Konsert: Datuk Ramli Sarip - Blues Buat Teman


Konsert Datuk Ramli Sarip - "Blues Buat Teman" Tour 2014 mengadakan 'roadshow' ke lima di Ipoh bertempat di Ballroom Kinta Riverfront Hotel. Dianjurkan oleh 'People Of Remarkable Talen' (P.O.R.T.) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bersama Pelancong Perak. 


Aku hanya gemar beberapa lagu dari nyanyian Datuk Ramli Sarip yang tidak terlalu 'heavy' tapi menyegarkan.  Antara lagu yang disampaikan dalam tempuh dua jam persembahan itu, Kamalia, Teratai, Doa Buat Kekasih yang mendapat respons hangat dari penonton. Suaranya masih mampu mengekalkan 'serak basah' yang menggetarkan. 

Friday, March 21, 2014

Anugerah Puisi Dunia Numera 2014

Kredit foto: Abrar Khairul Ikhirma

Majlis Anugerah Puisi Dunia Numera 2014 telah berlansung pada 21 Mac 2014 bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Juga di keesokan harinya acara Baca Puisi Dunia Numera 2014. 'Numera' adalah singkatan kepada 'Nusantara Melayu Raya'.

5 Puisi Pemenang Hadiah Utama:

1.  Risalah Melayu - Rosmiaty Shaari
2.  Nun Serumpun - Muhammad Rois Rinaldi
3.  Isyiq II - Basri Abdillah
4.  Mencari Arah Tanah - Syarifuddin Ariffin
5.  Bisik Batik - Mohamad Syafiq Mahamad Said

10 Puisi Pemenang Hadiah Penghargaan:

1.   Hang; Kekal di Selat Melaka - Abrar Khairil Ikhirma
2.   Ziarah Kata - Bambang Widiatmoko
3.   Pertarungan Kedua - Djazlam Zainal
4.   Merayap Dalam - Syarifuddin Ariffin
5.   Daun - Zaimi Azlan Ibrahim
6.   Selendang Semesta - A'yat Khalili
7.   Musyahadah - Basri Abdillah
8.   Supranasional: Titik Tolak - TabirAlam
9.   Suluh Ke Semenanjung - Akhmad Taufiq
10. Mihrab Cinta - Zaimi Azlan Ibrahim

Thursday, March 20, 2014

Penulisan: Tabloid Ruang Rekonstruksi


Empat buah karyaku temuat dalam makalah 'Tabloid Ruang Rekonstruksi' yang diterbitkan di Cilegon, Banten, Indonesia di bawah kelolaan seorang sasterawan muda prolifik, saudara Muhammad Rois Rinaldi.  Beliau juga merupakan Pengurus kepada Dewan Kesenian Cilegon.

Karya puisi yang dimuatkan; sajak (i) Menyusun Rindu, haiku (ii) Indonesia, sajak (iii) Andai Itu Nagasasra Sabukinten, dan sajak (iv) Batik: Grinsing Kediri.  


Muhammad Rois Rinaldi

Saturday, February 22, 2014

Manaqib Dr Hj Suhaimi Muhammad

Menghadiri Majlis Manaqib buat allahyarham Dr. Haji Suhaimi Haji Muhammad (r.h) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak pada jam 9.00 pagi. Majlis dianjurkan oleh Karyawan Perak dengan Yayasan Kampung Karyawan Malim.


Sesi kritikawan disampaikan oleh:

1) Dr. A. Halim Ali (UPSI)
2) Dr. Haji A. Rahim Abdullah (ASWARA)
3) Dr. Haji Shamsudin Othman (PENA)
4) Dr. Haji Malim Ghozali Pk (Karyawan Pk)
dan dibantu oleh moderator Encik Mohamad Shaidan (DBP)

Saturday, February 15, 2014

Majlis Khatam al-Quran



Majlis yang dinanti-nanti untuk disempurnakan setelah seorang demi soeorang anak kkhatam mengaji dengan ustazah mereka. Akhirnya diadakan dirumah emak bagi meraikan kesungguhan mereka mengaji al-Quran. Syukur alhamdulillah buat anakanda Abi Fathullah, Nurul Faizah, Nurul Fayyadhah dan isteriku Selma'a...


Terima kasih diucapkan buat ustazah yang membimbing anak-anakku sehingga selesai pengajian al-Quran dan boleh membaca dengan sendirinya.  Majlis hanya diraikan dari kalangan saudara terdekat. Jazakallhu kahiran.


Bergambar bersama ustazah Shamsiah di sebelah kiri dan ustazah Nin di sebelah kanan. Terima kasih di atas sumbang bakti kalian.

Saturday, December 7, 2013

Pertemuan Bonda Raja Zainon


Hari ini terima kunjungan (keluarga sebelah ayah) dari bonda Raja Zainon, kekanda Abdul Khazir dari Melaka, dan keluarga adinda Norfadilah dari Kuala Kangsar. Perjumpaan diatur di rumah emak di Taman Pengkalan Jaya, Pasir Puteh. Sekian lama kami tidak bertemu sejak awal 1990-an, alhamdulillah semua dalam keadaan sihat.   

 


Thursday, December 5, 2013

Bicara Karya Malim Ghozali Pk


Sesi Majlis Bicara Karya Penerima S.E.A Write Award 2013 - sdr Malim Ghozali Pk telah diadakan pada 5 Disember 2013 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.  Acara dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Sesi bicara karya dilansungkan dengan para kritikawan terdiri dari SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SN Dato' Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz, dan En. A. Rahim Abdullah. Hadirin diraikan dengan persembahan nyanyian sajak oleh sdr Malim Ghozali Pk.


 

Wednesday, December 4, 2013

Makam Datuk Shahbandar Hulu


Sekian lama aku hanya mengetahui tentang hubungan aku sebagai cucu kepada Datuk Shahbandar Hulu, Kuala Kangsar, namun aku belum berpeluang menziarah makamnya. Pada Rabu 4 Disember 2013 aku mengambil kesempatan mencarinya bersama emak di Makam DiRaja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.


Makamnya terletak di disebelah kiri dari pintu masuk menghala ke curam. Binaannya masih kukuh dan dijaga dengan rapi. Dua buah batu nisannya dibuat dari batu marmar.


Tertera di batu nisan - Al-Fatihah - Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahim (Kanda Ibrahim) Datuk Shahbandar Hulu kembalinya ke rahmatullah ta'ala pada hari Khamis jam 6.00 pagi 5 haribulan Muharram 1374 bersamaan 2 September 1954 umurnya 90 tahun.




Thursday, November 28, 2013

Pantun Ulam Majalah Waris



Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook. 


Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).


Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:

Pantun Hempedu Bumi

                                    Seperdu rami dibubuh cuka,
                                        jangan ditarah di tempat awal;
                                    hempedu bumi penyembuh luka,
                                        tekanan darah dapat dikawal.

 Pantun Ulam Jering

                                    Perakit sering rajin mencawas,
                                        bunga setawar diasing jenis;
                                    di pahit jering agen pelawas,
                                        juga penawar si kencing manis.
 
Pantun Pegaga

                                    Malam berjaga sebab berusia,
                                        rebahkan badan henti bacaan;
                                    ulam pegaga bak astrigensia,
                                        tambah ingatan, anti penuaan.

Pantun Pucuk Gajus

                                    Buruknya rampus pasti ditangis,
                                        puas mencubit cerewet reda;
                                    pucuknya gajus anti diabetes,
                                        lawas sembelit dan awet muda.

Pantun Pucuk Mengkudu

                                    Terkedu saya cerita salatin,
                                        di awal sirah bacar akaid;
                                    mengkudu kaya beta karoten,
                                        mengawal darah melancar haid.

Pantun Pucuk Sambung Nyawa

                                    Ngobrol orang di Bandung, Jawa,
                                        besarlah kesal gawat dirundung;
                                    kolestrol kurang dek sambung nyawa,
                                        masalah ginjal dapat dibendung. 

Pantun Hari Jadi: Khair Man