Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook.
Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:
Pantun Hempedu Bumi
seperdu rami dibubuh cuka
jangan ditarah di tempat awal
hempedu bumi penyembuh luka
tekanan darah dapat dikawal
Pantun Ulam Jering
perakit sering rajin mencawas
bunga setawar diasing jenis
di pahit jering agen pelawas
juga penawar si kencing manis
Pantun Pegaga
malam berjaga sebab berusia
rebahkan badan henti bacaan
ulam pegaga bak astrigensia
tambah ingatan, anti penuaan
Pantun Pucuk Gajus
buruknya rampus pasti ditangis
puas mencubit cerewet reda
pucuknya gajus anti diabetes
lawas sembelit dan awet muda
Pantun Pucuk Mengkudu
terkedu saya cerita salatin
di awal sirah bacar akaid
mengkudu kaya beta karoten
mengawal darah melancar haid
Pantun Pucuk Sambung Nyawa
ngobrol orang di Bandung, Jawa
besarlah kesal gawat dirundung
kolestrol kurang dek sambung nyawa
masalah ginjal dapat dibendung