Showing posts with label eSastera. Show all posts
Showing posts with label eSastera. Show all posts
Saturday, December 5, 2015
Hescom 2015
Aku ke Kuala Lumpur ke tempat yang sama di Hotel Dynasty seperti tahun sebelumnya bagi menghadiri Malam Anugerah Hadiah e-Sastera.com. Kali ini aku pergi bersendirian kerana aku menyimpang dari acara Pulara di Pulau Pangkor. Peserta diminta hadir dengan menggayakan pakaian antarabangsa, dan aku memilih pakaian tradisional Muslim Kenya.
Malam itu aku menyampaikan sebuah haiku yang bertemakan Hescom, dan sebelum itu aku memberikan soalan teka-teki dari laman e-Sastera terbuka kepada hadirin. Soalan dapat dijawab oleh sdr Ahkarim dari Alor Setar, Kedah, dan beliau dihadiahkan sebuah buku "Projek Haiku".
Pada malam Hescom itu aku memenangi dua hadiah utama. Pertama Hadiah Sayembara Sajak Banjir 2015 di tempat pertama berjudul "Dugaan Banjir". Kedua, aku menerima Anugerah Haiku dan Tanka di tempat pertama dengan haiku bertemakan "Hiroshima Dalam Kenangan".
Saturday, December 6, 2014
Hescom 2014
Majlis makan malam Anugerah Hadiah eSastera.com, atau nama ringkasnya Hescom 2014 anjuran Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia telah diadakan di Dynasty Hotel, Kuala Lumpur pada Sabtu 6 Disember 2014.
Malam itu aku menerima Anugerah Haiku Melayu Alam Siber dari pengasas eSastera, Prof. Ir. Irwan Abu Bakar bersama hadiah wang tunai.
Hescom adalah satu-satunya acara penulis alam maya dari grup eSastera bertemu mesra setelah berkarya di sepanjang tahunnya. Perjumpaan kali ini mengumpulkan karyawan dari Singapura dan Indonesia.
Di majlis itu, pertama kalinya aku berkesempatan bertemu dengan penulis muda dari Banten, Indonesia - Muhamad Rois Rinaldi.
Friday, September 12, 2014
Pujangga - Antologi Puisi TabirAlam
Akhirnya lahirlah sebuah antologi puisi TabirAlam berjudul 'Pujangga' diterbitkan oleh KayaCipta, Temoh, Perak. Koleksi puisi kategori moden dan tradisional juga memuatkan beberapa buah karya dalam bahasa Inggeris.
Puisi moden terkandung dari beberapa genre termasuk Haiku, Tanka, Senryu, Soneta, dan sajak. Puisi tradisonal pula termasuk genre, Syair, Pantun, Seloka, Teromba, dan Nazam.
Antara puisi yang dimuatkan adalah juga persembahan koloborasi bersama Dato' Norazian Abdul Wahab, a.k.a Teratai dari kumpulan e-Sastera, dan karya sanjungan buat Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Friday, July 16, 2010
Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4 Brunei
Rombongan Malaysia diwakili oleh ahli-ahli eSastera.com yang diketuai oleh Prof. Dr. Irwan. Turut disertai oleh Ilya Kablam, Citranalis, Has1mah, TabirAlam, Anbakri, Juragan Timur, Kerisakti, Puzi Hadi, Teratai, Noriah Darus dan beberapa jemputan lain.
seuntai kata
tersurat dan tersirat
memintal akal
lailatulqadar
khalwat mencari waktu
tujuh anggota
Friday, June 4, 2010
Baca Puisi Tiga Negara PENA - eSastera
Program Baca Puisi Tiga Negara (Malaysia, Singapura & Indonesia) di adakan pada Jumaat, 4 Jun 2010 anjuran PENA dengan kerjasama e-Sastera bertempat di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Ramai ahli sasterawan tersohor turut hadir pada malam itu.
Malam itu aku bersama sdr Teratai menyampaikan sebuah syair berjudul "Syair Naik Buaian"...
SYAIR NAIK BUAIAN (Teratai & TabirAlam)
Duhai anakanda dalam buaian
lahir ke dunia izinnya tuhan
sanjung ayahmu insan budiman
hormat padanya sepanjang zaman
bonda wanita sifat menawan
sabar menanti sembilan bulan
setelah lahir tiba dipangkuan
kasih sayangnya dalam pelukan
Nama diberi indah sebutan
besarmu nanti jadi ilmuan
teguh bertaqwa tegaplah iman
jadilah hamba dikasihi tuhan
naik buaian anak perempuan
wahailah anak yang setiawan
taat dan patuh anak perempuan
suamimu itu jangan dilawan
wahailah anak kami berpesan
kepada engkau dalam buaian
ibu dan bapa jangan dilawan
jangan diikut iblis dan syaitan
subhanallahMaliku A'inzah
anak yang ini limpahkan tuah
siang dan malam biar bertambah
sehingga tiba masa berpindah
wahailah anak kami buaikan
kepada engkau kami doakan
doa yang pendek mohon pulangkan
rezeki halal minta murahkan
subhanallah Malikul Jabbar
anak yang ini cepatlah besar
jauhkan dari kata yang mungkar
dunia akhirat supaya pintar
subhanallah Malikul Rahman
anak yang ini tetapkan iman
amal ibadat minta kuatkan
syaitan dan iblis minta jauhkan
subhanallah Malikul Wahab
anak yang ini jauhkan azab
minta dimakbul doa mustajab
siang dan malam mohon berharap
subhanallah Malikul Rahman
doalah kami minta perkenan
siang dan malam sepanjang zaman
bala dan fitnah minta jauhkan
subhanallah Tuhan Yang Kudrat
jauhkan kami dari maksiat
minta rahmat-Mu dunia akhirat
alhamdulillah syair pun tamat
Aku agak kekok muncul dengan singlet hitam kerana tidak menjangkakan program diadakan diluar. Jubah hitam yang dibawa tidak terdaya nak dipakai, kerana suasana tidak bersesuaian, kalau dipakai terlebih gaya, tak dipakai, itulah jadinya... Kenangan yang paling mahal, aku berpeluang bergambar bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada malam itu.
Saturday, May 22, 2010
'Rompin Rendezvous' e-Sastera
Perjumpaan Komuniti Teka-Teki
e-Sastera telah diadakan di Rompin Beach Resort, Pahang pada Sabtu 22 Mei
2010. Pertemuan itu diberikan jolokan 'Rompin Rendezvous e-Sastera' lanjutan kepada
Pertemuan Teka-Teki Siput Belitung yang telah diadakan sebelum ini di Seremban,
Negeri Sembilan. Hadirin terdiri dari sdr dahrie selaku jurugambar a-la 'paparazi'. Ucapan terima kasih juga buat sdr founder e-Sastera, sdr Dr.irwan yang hadir bersama-sama kerabat
komunuti teka-teki. Turut memberi sokongan malam itu dengan kehadiran sdr
Has1mah, Kablam, Naimisa, Dakwat_Cair, Nordarus, Citranalis.
Hidangan malam itu dikelolai oleh
sdr Chef_Jaa sendiri, tapi sayangnya dia tak pakai 'toque' malam tu, kebetulan beliau bertugas di Rompin Beach Resort.
BBQ berbagai pilihan dari sotong, ikan mabong, sosej, daging lembu, daging
kambing, daging ayam, ketam ada ke? Esoknya selepas sarapan pagi, kami sempat
bergambar di ruang legar coffee house,
tapi tanpa dua rakan yang lain; sdr naimisa dan sdr dahrie... mungkin masih
sibuk mengemas di bilik kot...
Thursday, April 2, 2009
Seminar Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara
Seminar Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara: Kembali Kepada Quran dan
Hadis telah berlansung pada 31 Mac hingga 2 April 2009. Program dianjurkan oleh
Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP
serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Institut Terjemahan
Negara Malaysia (ITNM), Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan,
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Masjid Abdul Rahman bin Auf serta e-Sastera
bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Pada 2 April, aku dan sdr Teratai dijemput oleh e-Satera untuk berpantun sebagai pembuka acara pada malam penutup seminar tersebut dan dibawah ini dikongsikan rangkaian pantun dan syair yang disampaikan...
Bahagian Pertama - Pantun: TabirAlam bersama Teratai
segala kalam senda kelmarin
dihormat tatang demi mu rakan
bermula salam pada hadirin
selamat datang kami ucapkan
dihormat tatang demi mu rakan
bersinar hemah seri bentara
selamat datang kami ucapkan
Seminar Muslimah di Nusantara
bersinar hemah seri bentara
kelana tamu diberkat ampun
Seminar Muslimah di Nusantara
menjana ilmu sepakat rumpun
kelana tamu diberkat ampun
diam tertunduk larih di anjung
menjana ilmu sepakat rumpun
ayam berinduk sirih berjunjung
diam tertunduk larih di anjung
rodat di gaya bertepuk kinja
ayam berinduk sirih berjunjung
adat budaya dipupuk manja
rodat di gaya bertepuk kinja
alang dirawat di celah bertam
adat budaya dipupuk manja
alang berdakwat biarlah hitam
alang dirawat di celah bertam
Jebat si lanang bersalam sayu
alang berdakwat biarlah hitam
hebat dicanang ke alam Melayu
Jebat si lanang bersalam sayu
jerat bertuah gara cerita
hebat dicanang ke alam Melayu
erat ukhuwah para peserta
Bahagian Kedua - Syair: TabirAlam bersama Teratai
sampailah kita akhir acara
himpun semua mahir sastera
malam penutup hari ketiga
merungkai gundah moga selesa
tuanlah rumah dari Malaysia
pada tetamu disambut mesra
para karyawan yang bijaksana
dari pelusuk di Nusantara
awal seminar diiring doa
forum diatur naskah dibaca
buku dilancar kemuncak karya
menjana ilmu membuka minda
ucapan dasar santun bahasa
al-Quran hadis rujukan atma
tamudun ummah dalam berkarya
Dr. Mashitah membuka kata
lagu puisi halwa telinga
diselang seli sembah peserta
berdeklamasi sajak pujangga
diskusi novel karya e-sastera
bengkel menjana cambahan minda
disusun atur pemudah cara
dialog mengupas masalah karya
dan agraria arus perdana
wakil Brunei dan Singapura
Thailand diserta Indonesia
begitu hebat taulan sarjana
ilmu digarap puncak bicara
terima kasih pada semua
berkampong kita pisah akhirnya
bawa kenangan pulang bersama
hingga berjumpa di lain masa
Pada 2 April, aku dan sdr Teratai dijemput oleh e-Satera untuk berpantun sebagai pembuka acara pada malam penutup seminar tersebut dan dibawah ini dikongsikan rangkaian pantun dan syair yang disampaikan...
Bahagian Pertama - Pantun: TabirAlam bersama Teratai
segala kalam senda kelmarin
dihormat tatang demi mu rakan
bermula salam pada hadirin
selamat datang kami ucapkan
dihormat tatang demi mu rakan
bersinar hemah seri bentara
selamat datang kami ucapkan
Seminar Muslimah di Nusantara
bersinar hemah seri bentara
kelana tamu diberkat ampun
Seminar Muslimah di Nusantara
menjana ilmu sepakat rumpun
kelana tamu diberkat ampun
diam tertunduk larih di anjung
menjana ilmu sepakat rumpun
ayam berinduk sirih berjunjung
diam tertunduk larih di anjung
rodat di gaya bertepuk kinja
ayam berinduk sirih berjunjung
adat budaya dipupuk manja
rodat di gaya bertepuk kinja
alang dirawat di celah bertam
adat budaya dipupuk manja
alang berdakwat biarlah hitam
alang dirawat di celah bertam
Jebat si lanang bersalam sayu
alang berdakwat biarlah hitam
hebat dicanang ke alam Melayu
Jebat si lanang bersalam sayu
jerat bertuah gara cerita
hebat dicanang ke alam Melayu
erat ukhuwah para peserta
Bahagian Kedua - Syair: TabirAlam bersama Teratai
sampailah kita akhir acara
himpun semua mahir sastera
malam penutup hari ketiga
merungkai gundah moga selesa
tuanlah rumah dari Malaysia
pada tetamu disambut mesra
para karyawan yang bijaksana
dari pelusuk di Nusantara
awal seminar diiring doa
forum diatur naskah dibaca
buku dilancar kemuncak karya
menjana ilmu membuka minda
ucapan dasar santun bahasa
al-Quran hadis rujukan atma
tamudun ummah dalam berkarya
Dr. Mashitah membuka kata
lagu puisi halwa telinga
diselang seli sembah peserta
berdeklamasi sajak pujangga
diskusi novel karya e-sastera
bengkel menjana cambahan minda
disusun atur pemudah cara
dialog mengupas masalah karya
dan agraria arus perdana
wakil Brunei dan Singapura
Thailand diserta Indonesia
begitu hebat taulan sarjana
ilmu digarap puncak bicara
terima kasih pada semua
berkampong kita pisah akhirnya
bawa kenangan pulang bersama
hingga berjumpa di lain masa
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Tahun 80'an terkenal dengan kegilaan muzik dan tarian disco. Di Ipoh tidak kurang juga tumbuhnya disko untuk anak-anak muda yang mem...
-
A ntara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, ...
-
Pertama kalinya aku menerbitkan sebuah e-book berjudul "Antologi Haiku@Facebook" melalui laman sosial Facebook di bawah muka ...