Saturday, December 15, 2007

Hescom e-Sastera 2007


Hadiah e-Sastera.com atau lebih dikenali sebagai Hescom 2007 telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Acara tersebut berlansung pada Sabtu 15 Disember 2007. Aku menghadirkan diri bersama sr Teratai yang baru berjinak dengn e-Sastera.


Bersama sdr Kerisakti dan sdr Kalamutiara 

Antara hadiah-hadiah yang dimenangi:

Sayembara "50 Tahun Kemerdekaan" (Puisi Tradisional)
- tempat ketiga: "Syair 50 Tahun Kemerdekaan"
Sayembara Menulis Sajen I
- tempat pertama: "Tak Abis"
Sayembara Menulis Pantun
- Pemantun Idola Bulanan (Februari dan Jun)
Anugerah Haiku Alam Siber (AHMAS)
- tempat kedua 



Pautan artikel ini boleh dicapai disini.  

Wednesday, December 5, 2007

Seminar Pantun Melayu ATMA, UKM

Aku menerima permintaan dari Sekretariat Seminar Pantun Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, menyumbangkan pantun untuk "Seminar Pantun Melayu: Semalam, Hari Ini dan Esok" pada 6 hingga 7 Disember 2007, bertempat di Dewan Persidangan PPPI UKM.  Himpunan pantun ini adalah untuk projek penyelidikan Institut (ATMA) "Sejuta Pantun" di portal ATMA. Aku menyumbangkan tujuh rangkap pantun seperti di bawah.  Koleksi pantun ini boleh dicapai di http://www.malaycivilization.com/  

SEMINAR PANTUN MELAYU

bebas kelicap terlanda pakma
terlanjur pinar santun jentayu
syabas diucap kepada ATMA
anjur Seminar Pantun Melayu

laksana kida jela widuri
santun jentayu basa marahnya
mencerna minda hala dicari
pantun Melayu dan sejarahnya

kepada nuri balam merayu
tiada lain cantik dan ranggi
di jatidiri alam Melayu
dunia sains dan teknologi

sebal fantasi warnada kelam
angan bertemu sanat hikayat
globalisasi melanda alam
jaringan ilmu maklumat rakyat

jampuk berlangsi bergaya santun
sari bernalam gini menusuk
pupuk tradisi budaya pantun
dari semalam, kini dan esok

ungkap selesa dipapar madah
tamsil waruna kenal kelalang
lanskap bahasa terhampar indah
hasil wacana panel terbilang

nukil di pipi rahsia serunai
segulung padi rambah di dusun
wakil DBP, Malaysia dan Brunei
sekalung budi sembah disusun
  
Sumbangan pantun dibalas dengan ucapan ribuan terima kasih dari Prof. Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Sekretariat, Seminar Pantun Melayu, ATMA, UKM dan dibals dalam dua rangkap pantun berbunyi begini;

Ke Melaka bersama sahabat handai
Bawa pula kelapa tua
Apa daya hajat tak sampai
Di lain waktu kita bersua

Dari Melaka membeli cangkir
Letaklah ia di atas para
Kalau tuan tak dapat hadir
Jemputlah yang lain memeriahkan acara
 
Flag Counter