Showing posts with label TabirAlam. Show all posts
Showing posts with label TabirAlam. Show all posts

Wednesday, May 15, 2024

 

 

Dengan izin Allah SWT, semalam terserempak dengan Zaiti Et, rakan seperjuangan bersama Kumpulan Selendang Perak yang sekian lama tidak berjumpa, mungkin lebih tiga puluh tahun yang lalu selepas lawatan KSP ke Medan, Indonesia.

Selepas mengambil pesanan "nasi ayam" di Chicken Rice Shop, Ipoh Parade, nasib baik Zaiti yang tegur, kalau tak, mungkin berselisih bahu pun tak perasan.


Saturday, June 18, 2022

Pertemuan: Pak Engku

 

Bertemu dengan penulis dari Seremban, Negeri Sembilan, sdr Pak Engku di penginapan homestay Tambun. Syukur alhamdulillah pertemuan dengan izin Allah SWT, sebaik-baik Perancang.
 

Friday, February 22, 2019

Bicara Karya: PUJANGGA (TabirAlam)

 

   Pembentangan Bicara Karya buku khazanah puisi TabirAlam berjudul "PUJANGGA" disampaikan oleh Puan Hjh. Norehan Muhamad dengan nama pena Nohan Norehan, seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, IPGKI bertempat di Dewan Sri Melati, Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh. pada Sabtu, 23 Februari 2019.  

     Majlis Bicara Karya anjuran Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak atau Karyawan Pk. 

 

Saturday, December 1, 2018

PENGHARGAAN: Datuk Zurinah Hassan

 


Ianya merupakan satu penghormatan buat Akademi SPTA yang sekian lama bertapak sejak tahun 2012 di laman sosial Facebook. Berikut petikan ucaptama yang disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan. 

Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dalam ucaptama beliau memperkatakan tentang "Siri Penerbitan TabirAlam" (SPTA) semasa acara "Dialog Puncak Karyawan Asasi 2018" anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, bertempat di Pulau Tuba, Langkawi pada Jumaat, 30 November hingga Ahad, 2 Disember 2018. 

Sunday, January 3, 2016


Another attraction is in Alor Setar, Kedah, the Aman Sentral Mall, just opposite Alor Setar Tower. With 350 stores in it, one can easily go wild shopping till they drop.

My favorite outlets, the Hennes & Mauritz (H&M) can be found on the ground floor. you just can't miss it.

Wednesday, July 1, 2015

Meladen Ladin Yang Tumpul


SLURP! sebuah antologi puisi mengandungi 60 buah puisi a-la mi segera melibatkan 20 orang penulis siber.  Kandungan dibahagi kepada empat perisa; (i) Perisa Kari karya dari Hamizun Syah, TabirAlam, M Farez, dan Abdullah Jones, (ii) Perisa Asam Laksa karya dari Muhd Iqbal, Ibnu Din Assingkiri, Schwarzenmann, Ode Zulkarnain, dan Za'im Yusoff, (iii) Perisa Tomyam dari Najmuddin Yusoff, Bintang Kartika, Lara MN, Aziz Zabidi, dan Hafiz Latiff, dan (iv) Perisa Ayam Cendawan karya dari Aloyindra, Abang Arif, Jehan Bakar, Nimoiz TY, dan Sayidah Mu'izzah.



Penghasilan SLURP! berikutan dari sebuah artikel di Mingguan Malaysia bertarikh 5 Julai 2015 yang ditulis oleh seorang penggerak seni.  Tajuknya agak menyedihkan dari sudut penulis itu sendiri - "FenomenaPuisi Mi Segera di Laman Sosial".  Isu ini telah timbul beberapa kali, tapi cuma diperangatkan semula untuk raih populariti. Tapi, agak mengewakan bila ada penulis yang menikam belakang penulis lain demi melonjakkan diri sendiri. Teringa pula cerita dongeng "Si Rubah Dengan Anggur Masam". 



Tanpa meneliti fakta, agak cabul juga bila dia mengatakan "penulis haiku, hampas apabila menulis pantun".  Aku berasa bangga bila kalangan penulis haiku seperi Sri Mawar, Yahti Hayati, Pauzi Mohd Isa, Saniah Masri, Aiza Zizan, Asmira Suhadis antara nama yang hebat berpantun dan bersyair. 

Nak ketawa pun ada. Pada aku, 'forte' aku adalah menulis pantun, dan 'passion' aku menulis haiku.  Begitulah keadaannya bila seseorang mencari nama, sanggup menindas kegiatan rakan seperjuangan dalam arena seni. 

Thursday, January 22, 2015

World Haiku Review Winter/January 2015


Daripada 10 buah haiku yang dihantar, cuma sebuah haiku yang terpilih untuk majalah atas talian World Haiku Review edisi Winter / January 2015. Aku terpaksa hantar haiku genre tradisional dalam bentuk gendai haiku untuk menepati gaya konsep penganjur...

freezing winter
hunting in the wood
white breath

Haiku tersebut terpilih dalam kategori Neo-Classical Haiku dipetik dari majalah rasmi The World Haiku Club dibuat semula dalam bentuk haiga dengan haiku tradisional asal seperti berikut:


Thursday, January 1, 2015

GEMA Persatuan Karyawan Perak


Aku diberi tugas untuk meyediakan contoh buletin Karayawan Pk dua minggu sebelum mesyuarat AJK 1/2015 di Pakeeza Restaurant, Ipoh. Masanya agak singkat. Aku beri tumpuan sepenuhnya untuk disiapkan sebelum tarikh itu, malah dari contoh terus dipersetujui untuk terus dicetak dan diedarkan pada mesyuarat tersebut.

Maka lahirlah buletin GEMA Persatuan Karyawan Perak edisi 1/2014 pada 1 Januari 2015, dan diedarkan kepada ahli-ahli Karyawan Pk yang hadir semasa mesyuarat.  Edaran juga akan dibuat kepada persatuan penulis lain. Sebuah haiku berbahasa Rao dimuatkan bersama:


kulah rutiang
lumpur ke ompang tobek
gulei lauak

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan naskah GEMA, sila klik ikon pdf di bawah:



Thursday, November 6, 2014

Pelancaran Himpunan Puisi 'Pujangga'


Majlis Pelancaran Buku Karyawan Perak telah berlansung di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, pada Khamis 6 November 2014.  Perasmian disempurnakan oleh Sasterawan Negara, YBhg. Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah @ Kemala sempena Seminar Pemikiran Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan Perak (Karyawan Pk). 




Himpunan puisi "Pujangga" TabirAlam merupakan himpunan karya terpilih sejak tahun 2005 semasa mula aktif dengan kumpulan e-Sastera dan kemudiannya dengan Peminat Sastera Bandaraya Ipoh (PINTAR), dan akhir sekali bersama Persatuan Karyawan Perak. Beberapa karya pantun dalam bahasa Inggeris juga turut dimuatkan dalam antologi ini di bawah kelolaan George Manos yang berpengkalan di New Hampshire, Amerika. 


Friday, September 12, 2014

Pujangga - Antologi Puisi TabirAlam


Akhirnya lahirlah sebuah antologi puisi TabirAlam berjudul 'Pujangga' diterbitkan oleh KayaCipta, Temoh, Perak.  Koleksi puisi kategori moden dan tradisional juga memuatkan beberapa buah karya dalam bahasa Inggeris.

Puisi moden terkandung dari beberapa genre termasuk Haiku, Tanka, Senryu, Soneta, dan sajak.  
Puisi tradisonal pula termasuk genre, Syair, Pantun, Seloka, Teromba, dan Nazam. 

Antara puisi yang dimuatkan adalah juga persembahan koloborasi bersama Dato' Norazian Abdul Wahab, a.k.a Teratai dari kumpulan e-Sastera, dan karya sanjungan buat Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. 


Friday, August 1, 2014

Haiku 'Asmaradana' Dalam Dewan Sastera 8/2014


Buat pertama kalinya karya haiku yang kuhantar berjaya menembusi majalah Dewan Sastera bagi edisi bulan Ogos 2014.  Haiku 'Asmaradana' diilhamkan dari kisah percintaan mengandungi lima rangkap haiku berasingan.  Aku memberanikan diri mencuba setelah Dewan Sastera membuat 'review' karya haiku penulis Leyla Syuri dari Jepun sebelum ini.

Aku menempuhi soal selidik dari pihak editor Dewan Sastera sendiri bagi memastikan aku benar-benar berpengalam dalam penulisan haiku. Alhamdulillah, akhirnya haiku aku diterima.  

Saturday, March 22, 2014

Datuk Ramli Sarip - Blues Buat Teman


Konsert Datuk Ramli Sarip - "Blues Buat Teman" Tour 2014 mengadakan 'roadshow' ke lima di Ipoh bertempat di Ballroom Kinta Riverfront Hotel.  Dianjurkan oleh 'People Of Remarkable Talen' (P.O.R.T.) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bersama Pelancong Perak. 



Aku hanya gemar beberapa lagu dari nyanyian Datuk Ramli Sarip yang tidak terlalu 'heavy' tapi menyegarkan.  Antara lagu yang disampaikan dalam tempuh dua jam persembahan itu, Kamalia, Teratai, Doa Buat Kekasih yang mendapat respons hangat dari penonton. Suaranya masih mampu mengekalkan 'serak basah' yang menggetarkan. 



Thursday, December 5, 2013

Bicara Karya Malim Ghozali Pk


Sesi Majlis Bicara Karya Penerima S.E.A Write Award 2013 - sdr Malim Ghozali Pk telah diadakan pada 5 Disember 2013 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.  Acara dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Sesi bicara karya dilansungkan dengan para kritikawan terdiri dari SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SN Dato' Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz, dan En. A. Rahim Abdullah. Hadirin diraikan dengan persembahan nyanyian sajak oleh sdr Malim Ghozali Pk.


 

Thursday, November 28, 2013

Pantun Ulam Majalah Waris



Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook. 


Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).



Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:

Pantun Hempedu Bumi

seperdu rami dibubuh cuka
jangan ditarah di tempat awal
hempedu bumi penyembuh luka
tekanan darah dapat dikawal


 Pantun Ulam Jering

perakit sering rajin mencawas
bunga setawar diasing jenis
di pahit jering agen pelawas
juga penawar si kencing manis
 
Pantun Pegaga

malam berjaga sebab berusia
rebahkan badan henti bacaan
ulam pegaga bak astrigensia
tambah ingatan, anti penuaan

Pantun Pucuk Gajus

buruknya rampus pasti ditangis
puas mencubit cerewet reda
pucuknya gajus anti diabetes
lawas sembelit dan awet muda

Pantun Pucuk Mengkudu

terkedu saya cerita salatin
di awal sirah bacar akaid
mengkudu kaya beta karoten
mengawal darah melancar haid

Pantun Pucuk Sambung Nyawa

ngobrol orang di Bandung, Jawa
besarlah kesal gawat dirundung
kolestrol kurang dek sambung nyawa
masalah ginjal dapat dibendung

Monday, July 29, 2013

Antologi "Cinta, Rindu dan Kematian"

Sebuah lagi antologi telah diterbitkan, kali ini oleh komuniti "Coretan Dinging Kita" atau nama ringkasnya CDK yang dikendalikan oleh sdr Rambu Debu Ilalang, Jakarta, Indonesia.  Tanggal Isnin 29 Julai 2013 maka terbitlah antologi ini yang memuatkan hasil karya puisi dari 113 orang penyair Coretan Dinding antaranya dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Korea, Jerman dan Taiwan. Dengan tema yang sangat unik berkisar tentang Cinta, Rindu dan Kematian.  Tiga buah sajak dari aku dimuatkan dalam antologi ini bertajuk: "Narcissus Kaleng Buran", "Danau Toba: Rindu Tertumpu", dan "Belasungkawa "Maggie".


Narcissus Kaleng Buran

Aduhai teratak di sawah padi
persaksianmu pada purnama
dinihari, lalu diserlahkan
tampan wajah Kaleng Buran
jejaka kaum Bidayuh
menghibur rasa di syahdu malam
lagak narcissus membara
asyik, lagi mengkhayalkan
leka di matanya, lena di hati
menyintai paras dirinya

pudar wajah di bulan sepi
hodoh ngeri tidak terkira lagi
tanpa purnama merisik wajah
begitu misteri sakit dialami
saban malam menanti
menyintai purnama

tidak ketahuan akan adiknya
Kumang, yang disayangi
hingga curiga membolosi
sekeping hati suci
tapi, gerun melanda jiwa
enggan diakui itu abangnya
ke kamar, mengunci diri
antara simpang serba salah

maaf enggan diterima Kumang
Kaleng terapung di langit tinggi

sesalan menjeruk diri
hati Kumang bergelora
tampan Kaleng di purnama malam

galah sebatang dikaitnya abang
sayu berlagu menjulok-julok
hingga ke akhirnya
menjadi punggok


~CDK~
12.09.2013

Saturday, July 6, 2013

Kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi

Menghadiri kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi di Dewan Seri Banding, Hotel Seri Malaysia, Ipoh pada 6 hingga 7 Julai 2013.  Ceramah disampaikan oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan Encik Mohd bin Shamsuddin. 



Ketika menerima sijil penyertaan daripada Presiden Persatuan Karyawan Perak, Tuan Haji Zabidin Haji Ismail semasa upacara penutup.



Kursus dianjurkan oleh Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bersama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Saturday, June 22, 2013

Pelancaran Antologi "Lantera Sastera"


Sebuah antologi puisi bertajuk "Lantera Sastera" telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Jun 2013.  Pelancaran diadakan di Dewan Serbaguna, Kampung Batu, Kuala Lumpur.  Antologi ini memuatkan puisi-puisi karyawan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.   Sayangnya, aku tidak dapat hadir bersama mereka malam itu kerana kekangan dari beberapa hal lain. 
 

Kelihatan sdr Dr.irwan juga turut hadir mewakili eSastera.  Juga sdr Amran Ibrahim Rashidi, Ezah Nor dari Malaysia.  Karyawan muda prolifik, Muhammad Rois Rinaldi hadir mewakili Indonesia, serta Noor Aisyah mewakili Singapura, gambar mereka berdua di bawah ini, aku kagum dengan puisi karya mereka...


Lima buah haiku dimuatkan dalam Antologi "Lantera Sastera" terbitan grup lamanweb 'Puisikan Bait Kata Suara'...


Haiku #1

Maulidur Rasul
muslimin berselawat
cahaya ad-Deen


Haiku #2

di Aidilfithri
air mata tergenang
jari sepuluh


Haiku #3

Israk dan Mikraj
usul kadar rakaat
tiang agama


Haiku #4

solat terawih
dua puluh rakaat
berganjak arah


Haiku #5

kumulus putih
sujud meninggi hari
istana emas

 

~PBKS~

Wednesday, April 10, 2013

Pendapat di Projek Dialog

Suntingan pendapat yang dikemukakan kepada pengarang Projek Dialog dimuatkan dalam artikel berkenaan dengan tajuk "Perlunya Dialog Antara Ugama" kelolaan penulis sdr Uthaya Sankar SB telah disiarkan di blog beliau pada 10 April 2013.  Petikannya seperti berikut:

 Sila klik pada gambar untuk paparan besar.

Friday, March 1, 2013

World Haiku Review March 2013

Sebuah dari haiku yang aku hantar ke the World Haiku Club telah terpilih dalam kategori Neo Classical Haiku di bawah sub-kategori Zatsuei (Haiku of Merit) bagi majalah World Haiku Review terbitan March 2013.

a snow covered twig
dripping into the lake
song of the season

Haiku ini aku persembahkan dalam bentuk Haiga (Haiku berlatarbelakangkan gambar) dan aku memilih gambar musim salji yang bersesuaian seperti di bawah. Pautannya boleh dicapai disini.


Thursday, February 2, 2012

Lomba Puisi PBKS 2012

Pernyertaan sajak "Menyusur Ranting Kehidupan" terpilih di tempat ketiga dalam 'Lomba Puisi Bergambar' anjuran Puisikan Bait Kata Suara (PBKS) bagi tahun 2012.  Aku memilih gambar di atas sebagai hamparan kanvas puisiku.  Komuniti sastera ini aktif secara 'online' yang diikuti oleh karyawan dari beberapa negara serantau seperti Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain. 

Menyusur Ranting Kehidupan

luluh hati tersentuh
lebur lagi ratap dirinya
redah dugaan Illahi di awal usia
piatu dari bencana Pencipta
rayaunya menyambung nyawa
agar mampu menghela nafas
kendati...
dengan sebutir nasi ciciran
atau sisa berbaki di jalanan

tiada enak pada jelira
tiada ranai pada tangis
tiada syahdu pada telinga
tiada indah pada tubuh
tiada erti pada makmur
tiada hala pada esok

cukup sekadar
menyambung suap ke mulut
dari celik mata ke lena tidur
menyimpan cuma sekumit mimpi
esok kan mampu melata
menyusur ranting kehidupan
 

~PBKS~
2 Februari 2012

Pantun Hari Jadi: Seti Zaleha